Isu Semasa Pendidikan

PPPM melahirkan murid kritis


KEPERLUAN pembelajaran negara menjelang abad ke-21 menyasarkan agar murid di negara ini mempunyai minda yang kritis dan kreatif, tidak semata-mata lagi berlandaskan buku atau memenuhi kehendak peperiksaan awam untuk lulus cemerlang semata-mata.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Dr. Azian Tengku Syed Abdullah berkata, perubahan itu hanya mampu dicapai melalui pelaksanaan berkesan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Melalui peringkat itu, katanya, PPPM bermatlamat mahu melahirkan bukan sahaja murid-murid yang cemerlang tetapi yang mempunyai daya fikir yang tinggi.

"Untuk mencapai hasrat ini, kemahiran berfikir aras tinggi atau Higher Order Thinking Skills (HOTS) di kalangan murid dan guru akan dimantapkan lagi dengan memberi pendedahan yang komprehensif untuk golongan sasaran tersebut.

''Hal ini agar HOTS dapat diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara sistematik dan efektif, '' katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, sistem pendidikan negara perlu ditambah baik berdasarkan tanda aras sistem pendidikan negara lain mengikut standard antarabangsa antaranya termasuklah bidang matematik, sains dan bahasa Inggeris, serta kemahiran berfikir aras tinggi yang melibatkan aplikasi, penaakulan, dan penyelesaian masalah.

Jelas beliau, elemen itu bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan inovatif, kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.

PPPM juga, ujarnya, mengkehendaki murid memiliki kemahiran berfikir dan mempunyai skil kepimpinan di samping mempunyai semangat ingin tahu, dan belajar cara untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, serta mampu menghubung kait pelbagai pengetahuan.

Selain itu, menurutnya, PPPM menggariskan hala tuju dasar jangka panjang bagi menampung perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan antarabangsa sekali gus menuntut murid di Malaysia bersaing dengan murid terbaik di peringkat antarabangsa.

"Oleh itu, demi melahirkan bakat yang kompetitif di peringkat global, kita tiada pilihan lain selain bersedia menyahut cabaran tersebut dan pada masa sama menyediakan sistem pendidikan yang mampu berdaya saing.
"Usaha ini boleh dicapai melalui inisiatif mengikut bidang keutamaan ke arah memastikan pulangan atas pelaburan yang optimum dalam bentuk keberhasilan murid,'' kata beliau.

Pada masa yang sama, kata Azian, penyediaan PPPM bukan rancangan yang dirangka dengan mudah dan disiapkan dalam tempoh yang singkat, sebaliknya disiapkan selepas mengambil kira analisis, temu bual, tinjauan dan kajian.

Beliau menambah, PPPM melibatkan cadangan panel pakar pendidikan negara dan antarabangsa terutama UNECSO, perbincangan berterusan di peringkat kementerian, guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa.

"Laporan ini menegaskan semula matlamat Malaysia terhadap sistem pendidikan berfokuskan pendidikan murid secara holistik, dan menyediakan negara untuk masa depan.

''Perubahan yang dibuat dalam sistem pendidikan negara melalui PPPM ini berdasarkan kehendak dan perubahan ekonomi dunia yang dengan itu memerlukan murid kita mampu berfikir dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif,'' katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi memenuhi permintaan globalisasi yang sentiasa meningkat terutama aspek pendidikan, Malaysia juga perlu menganjak perubahan, sama seperti tindakan yang diambil oleh negara-negara lain yang maju bersaing di peringkat antarabangsa.







Bantuan RM100 Mula diagihkan kepada pelajar




Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM


2011/05/16KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.
Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.
Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.

Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.

"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.

Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA





Pelatih Penan PPKS Miri terima biasiswa Samling
MIRI 3 Mei - Dua pelatih berketurunan Penan di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Miri telah dipilih untuk menerima biasiswa bernilai RM8,200 setiap seorang daripada Syarikat Samling Timber Sdn. Bhd.

Pengarah Wilayah PPKS Miri, Khaninah Ariff berkata, kedua-dua pelatih tersebut iaitu Samuel Luhat dan Nataniel Mawa mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pengkhususan Juruteknik Kanan Automasi.

"PPKS berterima kasih kepada syarikat swasta seperti Samling kerana sudi memberi biasiswa kepada penuntut Penan yang melanjutkan pengajian di sini.

"Kami berharap lebih banyak syarikat swasta asing dan tempatan akan mengambil inisiatif seperti ini untuk membantu para pelatih," katanya yang berucap pada majlis penyampaian biasiswa di PPKS Miri, Lutong, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang jurucakap Samling berkata, biasiswa diberikan itu merupakan antara program sosial yang ditawarkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kemahiran bagi membantu dan membela nasib kaum Penan untuk mendapatkan pendidikan terbaik dalam bidang kemahiran.

Katanya, biasiswa itu merangkumi pembiayaan yuran pengajian, elaun sara hidup dan yuran asrama bagi tempoh 12 bulan.

Penerima biasiswa berkenaan, Samuel, 21, yang berasal dari Kampung Long Lunyim tidak menyangka sama sekali permohonan beliau untuk mendapatkan penajaan daripada pihak Samling diluluskan.

"Saya berjanji akan menggunakan kemudahan kewangan tersebut untuk menamatkan program pengajian SKM Tahap 3.

"Selain itu, saya menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia di PPKS Kuching," katanya.

Rakanya, Nataniel, 22, pula berkata, dia amat bersyukur apabila terpilih menerima biasiswa daripada Samling.

"Saya kagum dengan usaha PPKS Miri dalam mencari sumber kewangan kepada pelajar Penan.

"Saya berharap lebih ramai pelajar berketurunan Penan dapat dibantu melalui pemberian biasiswa yang serupa," katanya yang merupakan rakan sekampung Samuel.





3,000 kunjungi karnival kerjaya Universiti Teknologi Petronas

TRONOH 12 April - Lebih 3,000 pengunjung yang rata-ratanya graduan tahun akhir beberapa buah institusi pengajian tinggi di negeri ini tidak melepaskan peluang berkunjung ke program Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (TPK) 2011 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), baru-baru uni.

Pengurus Projek TPK 2011, Mohd. Firdaus Che Rahim berkata, program sepanjang dua hari itu memberi peluang kepada golongan terbabit mendapatkan maklumat kerjaya daripada 40 wakil syarikat industri yang mengambil bahagian pada acara tahunan tersebut.

"Ramai pelajar tahun akhir bimbang krisis ekonomi global yang sedang melanda akan memberi kesan negatif kepada pengambilan pekerja baru tetapi melalui TPK ini, kita telah membuktikan masih banyak pihak yang membuka peluang kerjaya kepada para graduan.

"Melalui TPK juga, bakal graduan yang berkunjung ke sini dapat mengetahui sendiri peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan, bahkan ada syarikat yang mengadakan temu duga di gerai mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis perasmian TPK 2011 yang disempurnakan Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Zakaria Abas di kampus UTP, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Mohd. Firdaus berkata, selain mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan, pengunjung turut berpeluang mengikuti ceramah kerjaya yang dianjurkan beberapa syarikat dan organisasi terkemuka.

Katanya, antara syarikat ternama yang turut serta dalam karnival itu ialah Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd., Petrolium Nasional Berhad (Petronas), Schlumberger WTA (Malaysia) Sdn. Bhd., Bumi Armada Berhad, Murphy Oil Corporation dan banyak syarikat ternama lain.

"Semua syarikat itu mengadakan ceramah kerjaya dan kita berharap peluang ini tidak dilepaskan oleh para pengunjung," katanya.





Dua fokus baru IPT majukan sukan

KOTA KINABALU 10 April - Kementerian Pengajian Tinggi akan memberi tumpuan kepada dua fokus baru dalam bidang sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membantu memajukan industri sukan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu merupakan inisiatif kritikal yang perlu dilakukan segera bagi meletakkan tahap sukan negara di tahap sewajarnya.

"Pertamanya, kita perlu melihat dan mengkaji bagaimana penglibatan pelajar IPT dalam acara sukan mampu menyumbang kepada usaha pembangunan kemahiran insaniah individu tersebut.

"Keduanya, usaha memperluaskan sumbangan, fungsi serta peranan institusi pengajian tinggi dalam inisiatif membangunkan industri sukan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2010 di sini, malam tadi.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon dan Pengerusi Masum, Prof. Dr. Shaharudin Abd. Aziz.

Pada majlis itu atlet terjun dari Universiti Malaya, Bryan Nickson Lomas dinobatkan sebagai Olahragawan MASUM manakala, atlet wushu dari Universiti Putra Malaysia, Chai Fong Ying sebagai Olahragawati MASUM 2010.


Arkib Utusan Malaysia




Kelab TaHa baiki kualiti pendidikan ahli
Oleh Rosdi Ismail dan Hadri Harith


SEMINAR Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tajaan Kelab TaHa Tabung Haji (TH) berlangsung di Jitra Kedah dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Kuantan Pahang, dianjurkan bertujuan menyuntik semangat peserta untuk terus gigih menelaah pelajaran.

Program pertama bagi tahun ini, diadakan serentak di dua lokasi pilihan bagi membolehkan calon kedua-dua peperiksaan umum itu meningkatkan kemahiran mereka menjawab soalan.

Usaha ini sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan calon yang terdiri daripada ahli Kelab TaHa selain memberi peluang TH menjayakan program tanggungjawab sosialnya.

Peserta UPSR seramai 270 murid mengikuti tiga slot ceramah iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik manakala 254 calon PMR mengikuti slot Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Timbalan Pengarah TH Kedah, Mohamad Saimi Mat Som, berkata program pendidikan itu diharap dapat mengubah sikap peserta untuk lebih bersemangat sebelum menduduki peperiksaan.

Beliau berkata, dengan dibimbing guru pakar berpengalaman, peserta dapat meningkatkan kecekapan menjawab soalan berdasarkan aras peperiksaan sebenar.

“Jadikan program pendidikan ini sebagai permulaan untuk cemerlang dalam pelajaran seterusnya melangkah maju dengan meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Bimbingan Peperiksaan UPSR anjuran Kelab Taha TH di Dewan Ibnu Khaldum, Institut Perguruan Abdul Halim (IPDA), Jitra, Kedah.Turut hadir, Penolong Pengarang Berita Pendidikan (Projek), Sabri Said.

Mohamad Saimi berkata, kemiskinan bukan lagi halangan murid untuk cemerlang dalam pelajaran, sebaliknya perlu mengubah sikap untuk bersemangat menimba ilmu.

Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Darulaman, Wan Muhd Ammar Azman, berkata seminar memberi motivasi kepada dia untuk lebih bersemangat mengulang kaji pelajaran.

“Ini kerana bimbingan daripada guru pakar di seminar itu mendedahkan kepadanya cara yang betul mencari jawapan bagi soalan yang sukar difahami seperti Bahasa Inggeris dan Sains,” katanya.

Murid SK Tunjang, Jitra, Kedah, Nurfariesha Izzati Azizan pula berkata, seminar peperiksaan itu memberi peluang menilai pencapaian setakat ini bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

“Saya bertuah kerana diberi peluang menyertai seminar ini dan akan belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi cita-cita memperoleh 5A dalam UPSR untuk membanggakan kedua-dua ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah TH Pahang, Mohyen Mosman, berkata menjadi tanggungjawab pihaknya menyediakan program pendidikan berkualiti kepada calon peperiksaan kerana aktiviti sedemikian dapat meningkatkan kecekapan peserta menjawab soalan.

“Saya gembira pelajar dapat bimbingan terbaik daripada penceramah yang terdiri daripada guru pakar berpengalaman. Modul pendidikan standard dapat dimanfaatkan peserta.

“Pendedahan awal ini membolehkan peserta yang datang dari Kemaman dan Gambang untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan sebenar,” katanya.

Arkib Berita Harian


Pelajar disaran kuasai bahasa Jepun

PUTRAJAYA 4 April - Para pelajar sekolah menengah disaran mengambil kesempatan menguasai bahasa Jepun sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke negara matahari terbit itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, sehingga kini terdapat 51 sekolah berasrama penuh (SBP) dan 40 buah sekolah menengah harian yang menawarkan mata pelajaran bahasa Jepun.
"Bagi mengukuhkan lagi penguasaan pelajar, 120 guru bahasa Jepun telah disediakan untuk mengajar di SBP dan sekolah menengah harian yang terpilih.

"Untuk menilai tahap pencapaian murid, peperiksaan pencapaian di bawah pengelolaan Bahagian Perkembangan Kurikulum akan diadakan bagi pelajar tingkatan empat," katanya ketika berucap pada Majlis penyerahan Cek Perolehan Peralatan Pengajaran Bahasa Jepun di Sekolah-Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Abd. Ghafar menerima replika cek bernilai RM40,000 daripada Pengarah Yayasan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (JACTIM), Kenji Kojima bagi menanggung kos pembiayaan peralatan pembelajaran bahasa Jepun untuk 35 buah sekolah di negara ini.

Menurut Abd. Ghafar, bagi pelajar yang menduduki peperiksaan bahasa Jepun, sijil penguasaan bahasa Jepun akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Jepun Kuala Lumpur.

Selain itu katanya, penguasaan bahasa Jepun di sekolah bukan sahaja bermatlamat untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan semata-mata tetapi bertujuan mendedahkan budaya cemerlang masyarakat Jepun itu sendiri.
"Bagaimanapun menjadi satu kelebihan kepada pelajar terlibat melanjutkan pelajaran di negara itu dan pendedahan awal ini memudahkan mereka membuat persedian apabila belajar di sana," katanya.